KOTA BHARU – Kehidupan seorang warga emas di Pengkalan Chepa di sini tidak terurus dengan sampah merata-rata di dalam rumah usang yang dihuninya sejak tujuh bulan lalu.
Wan Ali Wan Abdullah, 78, yang hidup sebatang kara mengalami masalah pendengaran dan menghidap saraf pinggul sehingga tidak mampu melakukan kerja rumah kerana dia hanya boleh mengesot.
Katanya, sebelum ini dia tinggal bersama keluarga anak saudara di Kampung Simpang Tiga, Pengkalan Chepa, namun berpindah keluar disebabkan tidak mahu menyusahkan mereka.
“Nasib baik ada insan yang memberi kebenaran kepada saya menyewa rumah pada kadar RM120 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini kelmarin.
Wan Ali yang pernah berkahwin, namun bercerai 10 hari kemudian 30 tahun lalu memberitahu, makan minumnya kini bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.
Dia yang turut menghidap darah tinggi mengakui rumahnya tidak terurus dan pernah beberapa kali mengupah kanak-kanak di kampung itu untuk membantunya mengemas rumah.
“Dalam bulan Ramadan ini, saya hanya bergantung kepada pertolongan jiran terdekat yang membeli makanan atau menghulurkan kuih-muih untuk berbuka puasa,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Wan Ali Wan Abdullah 0301041000203290. -K! ONLINE