fbpx

Dua lelaki dikompaun langgar SOP di Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah pasaraya di Tampin mengambil inisiatif mewajibkan perlanggan mengenakan pelitup muka sebelum masuk ke dalam premis perniagaan berkenaan.

Oleh NOR AINNA HAMZAH

SEREMBAN – Dua lelaki di negeri ini dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 susulan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditetapkan termasuk pemakaian pelitup muka dan juga menjaga jarak fizikal.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, bagi kes pertama di Tampin, seorang lelaki berusia 44 tahun dikompaun kerana ingkar arahan memakai pelitup muka ketika memasuki sebuah kedai serbaneka.

Menurutnya, kes kedua yang diterimanya pula ialah membabitkan seorang lelaki berusia 40 tahun di Jempol yang dikompaun kerana tidak menjaga jarak fizikal dan enggan menulis nama di dalam buku yang disediakan di sebuah restauren.

“Ini dua kes yang kita terima sehingga jam 7.00 petang ini. Bagaimanapun, laporan lengkap bilangan berapa ramai dikompaun di setiap daerah susulan melanggar arahan PKPP akan diterima pada jam 12.00 tengah malam nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata, sebanyak 116 pasukan pemantau ditempatkan di seluruh negeri ini bagi memantau pematuhan rakyat berhubung keputusan kerajaan mewajibkan penggunaan pelitup muka dalam pengangkutan awam dan di tempat awam yang sesak bermula hari ini.

“Pasukan ini mempunyai kekuatan sebanyak 423 individu iaitu 138 dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 35 dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan selebihnya terdiri daripada anggota dan pegawai polis di negeri ini.

“Selain pasukan pemantau berkenaan kita juga melaksanakan dua Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng di negeri ini bagi memastikan orang awam mematuhi peraturan PKPP.

Kosmo! dalam tinjauannya ke Tampin mendapati orang awam termasuk kanak-kanak mula dilihat memakai pelitup muka di kawasan awam berikutan penguatkuasaan undang-undang berkenaan pemakaian pelitup muka berkenaan.

Di beberapa pasar raya dan premis perniagaan di sini mendapati hampir semua orang awam memakai pelitup muka bertujuan untuk mengekang penularan Covid-19.

Lokasi pertama di sebuah pasar raya di Tampin, kesemua pengunjung memakai pelitup muka berikutan premis perniagaan telah mewajibkan perlanggannya mengenakan pelitup muka dengan sempurna.

Manakala, di Pekan Tampin dan Perhentian Bas Tampin rata-ratanya mengenakan pelitup muka walaupun tidak masuk ke mana-mana premis perniagaan berkemungkinan bagi mengelak daripada dikenakan tindakan kompaun.

Namun, masih ada yang ingkar dengan tidak memakai pelitup muka dengan sempurna, namun bilangannya sangat kecil.

Seorang pekerja swasta yang ditemui, Ansaratullah Mohd Taufek, 28, berkata, sebelum ini dia sedar mengenai kepentingan memakai pelitup muka, namun, jarang-jarang memakainya berikutan kurang selesa disebabkan cermin matanya sering kabur sebaik menggunakan pelitup mata.

Bagaimanapun menurutnya, sebagai seorang rakyat yang menyokong usaha kerajaan memutuskan rangkaian Covid-19, dia kini memakai pelitup muka sebaik sahaja turun dari kenderaan untuk pergi ke lokasi tumpuan orang ramai seperti kedai.

“Bukan disebabkan kompaun yang dikenakan, tetapi lebih kepada mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dan orang ramai perlu memakai pelitup muka yang sempurna iaitu menutupi hidung dan mulut.

Bagi seorang pekerja pasaraya yang hanya ingin dikenali sebagai Kamal, dia menyatakan sebelum penguatkuasaan pemakaian pelitup muka berkenaan, ramai perlanggan yang tidak memakai pelitup muka.

“Tapi hari ini semuanya sudah siap-siap memakai pelitup muka sebaik turun dari kenderaan masing-masing,” katanya.

Bermula hari ini, pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak tumpuan umum seperti pasar tani, pasar raya, taman rekreasi serta tempat pelancongan.

Mereka yang dikesan gagal mematuhi arahan tersebut bakal berdepan hukuman denda RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI