fbpx

Rodgers tolak spekulasi ke Spurs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RODGERS mahu terus kekal bersama Leicester yang berjaya menempatkan diri di kelompok empat pasukan teratas ketika ini. – AFP

LEICESTER – Pengurus Lei­cester City, Brendan Rodgers menolak spekulasi mengaitkan dirinya dengan jawatan sebagai pengurus di Tottenham ­Hotspur sambil mengakui mahu kekal di Stadium King Power.

Di bawah kendalian Rod­gers, Leicester kini berada dalam kelompok empat pasukan teratas dan mara buat kali pertama ke pentas final Piala FA sejak 52 tahun lalu selepas menewaskan Southampton Ahad lalu.

Rodgers yang tiba di Lei­cester pada Februari 2019 dari Celtic mengakui fokusnya kini adalah untuk meningkatkan lagi prestasi pasukan itu dan enggan terganggu dengan spekulasi liar.

“Ini adalah bola sepak di mana anda akan dikelilingi oleh spekulasi. Setiap kali ada pengurus yang meninggalkan pasukan, maka ia sentiasa ada spekulasi mengenai jawatan itu.

“Tottenham adalah sebuah kelab yang hebat dan besar tetapi fokus saya adalah tetap di sini. Saya mempunyai fasiliti berkelas dunia di sini. Projek yang kami rancang masih berjalan dan masih banyak kerja yang perlu dilakukan.

“Saya mempunyai hubu­ngan yang baik dengan pemain, pihak pengurusan dan perancangan kami cukup jelas untuk kelab ini.

“Ketika saya masih ber­tenaga, gembira dan mahu terus mencabar diri di kelab ini, saya fikir anda perlu menghentikan semua spekulasi ini,” katanya.

Nama Rodgers tersenarai di dalam lima pengurus yang menjadi sasaran Spurs ketika ini selepas mereka membuat keputusan memecat Jose Mourinho beberapa hari lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI