fbpx

Dylan O’Brien melawan gergasi, bersahabat dengan anjing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DYLAN O'BRIEN

BAGI pengikut naskhah terbitan platform penstriman Netflix, pastinya ramai menyedari bahawa filem Love and Monster yang mula ditayangkan bermula 14 April lalu menduduki tangga pertama di negara ini.

Dibintangi aktor popular Dylan O’Brien, naskhah berkenaan pantas mencuri perhatian penonton dengan jalan cerita menarik berkisar serangan gergasi sehingga menyebabkan populasi manusia kian terancam.

Ketika menyelamatkan diri, Joel Dawson (Dylan) terpisah dengan kekasihnya Aimee (Jessica Henwick). Pada masa sama, kematian tragis kedua-dua ibu bapanya terpaksa disaksikan depan mata sendiri.

SEPANJANG penggambaran, Dylan banyak menghabiskan masa dengan pasangan ‘pelakonnya’ iaitu anjing yang dilatih. 

Dawson kemudiannya keluar untuk menjejaki kekasihnya Aimee selepas terpisah beberapa tahun. Sepanjang pengembaraannya, Dawson hanya ditemani seekor anjing jalanan bernama Boy yang banyak melindunginya daripada serangan gergasi.

Filem tersebut sudah mula dibangunkan sejak 2012 dan penggambaran pula dijalankan sepanjang Mac hingga Mei 2019.

“Sebenarnya agak pelik dan seperti satu kebetulan yang tidak dirancang. Situasi dalam filem ini ketika Dawson terpisah bertahun-tahun lamanya dengan Aimee, sama seperti apa yang kita semua sedang hadapi ketika ini iaitu pandemik.

aaaa

“Terpisah daripada keluarga dan orang tersayang, sangat berkait rapat dengan keadaan semasa. Satu kebetulan yang sangat ‘gila’,” ujarnya ketika muncul dalam temu bual bersama Coupdemain Magazine.

Gergasi, anjing bijak

Bercerita lanjut tentang penglibatannya dalam filem tersebut, Dylan mengakui cukup teruja dan berbesar hati kerana berpeluang menjadi sebahagian tenaga dalam sebuah karya hebat.

“Ketika pertama kali membaca skrip, saya sangat sukakan dunia yang digambarkan dalam cerita ini. Betapa saya suka dengan elemen semula jadinya dan pada masa sama saya gemar dengan kewujudan makhluk gergasi.

“Naratifnya juga sangat menarik kerana cerita ini menggambarkan bagaimana makhluk gergasi memaksa manusia hidup dalam persembunyian, sekali gus dunia seperti sudah berpenghujung,” kongsinya.

KONSEP dan jalan cerita menarik yang dibaca dalam skrip Love and Monsters disifatkan Dylan sangat menarik kerana mengisahkan tentang makhluk gergasi.

Berbanding rakan pelakon lain, ‘bintang’ yang paling banyak menghabiskan masa bersamanya ialah anjing bernama Hero dan Dogde.

“Menakjubkan. Saya ada pasangan peneman yang sangat bermakna.

“Pengalaman menjalani penggambaran di Australia dan latihan bersama mereka menjadi perkara paling hebat.

“Dalam banyak gambar sepanjang penggambaran yang saya simpan kebanyakannya bersama mereka (anjing). Sama ada saya berbaring di atas bangku atau baring bersama Hero dan dia sedang menjilat muka saya.

“Momen seperti itu membuatkan saya terfikir, apa lagi yang kita mahukan? Mereka ‘menghidupkan’ semula saya. Sudah ibarat sebuah keluarga,” katanya gembira mengenang memori.

Ciapan bahasa Melayu

Sejak dimainkan dalam platform Netflix, Love and Monster menjadi filem nombor satu di 80 buah negara.

Lebih menarik, tanpa terduga Dylan turut mencuri jiwa peminat tempatan apabila memuat naik ciapan dalam bahasa Melayu ketika membalas hantaran akaun rasmi Netflix Malaysia yang menyenaraikan sebab-sebab mengapa filem arahan Michael Matthews tersebut wajib ditonton.

CIAPAN dalam bahasa Melayu Dylan yang membalas hantaran akaun rasmi Netfllix Malaysia berkenaan filem lakonannya mencuri perhatian peminat tempatan.

“Wah, semua sebab-sebab yang terbaik (emoji berbentuk hati). Semua anda mahu ada dalam filem ini!” ciap Dylan.

Pemilik nama lengkap Dylan Rhodes O’Brien, 30, itu merupakan aktor kelahiran New York, Amerika Syarikat dan mula dikenali menerusi karakter Thomas dalam trilogi popular Maze Runner selain beberapa naskhah hebat lain seperti Bumblebee dan Deepwater Horizon.

Susulan ciapan menariknya, seorang netizen berseloroh dengan ‘membandingkan’ situasi tersebut dengan perkara sama yang dilakukan pemeran watak Thor, Chris Hesmworth yang pernah bercakap dalam bahasa Indonesia ketika mempromosikan filem Thor: Ragnarok pada 2017.

MENYENTUH tentang sikap wataknya dalam Love and Monsters yang sanggup mencari kekasih hati, Dylan menyifatkan tindakan sebegitu sebagai sifat semula jadi manusia yang sememangnya dilahirkan bersama emosi.

“Chris Hemsworth shaking and crying right now (Chris Hemsworth sedang menggigil dan menangis sekarang),” tulis netizen tersebut dalam Twitter.

Hakikat di sebalik perhatian yang tertumpu kepadanya, ada kisah perit yang berlaku terhadap Dylan apabila pernah terlibat dalam kecelakaan teruk ketika penggambaran sekuel akhir filem Maze Runner.

Kecederaan, trauma

Sewaktu kejadian yang berlaku pada 2016, dia sedang menjayakan babak di atas kenderaan bergerak dalam keadaan badannya diikat menggunakan tali keselamatan, namun tanpa disangka, aktor itu dilanggar sebuah lagi kereta lain.

Akibatnya, Dylan mengalami keretakan pada tulang muka, trauma otak dan gegaran.

KECEDERAAN yang dialami Dylan ketika penggambaran hampir membuatkan dia menarik diri daripada terlibat dengan filem Love and Monsters.

Ketika berbicara tentang tragedi menimpanya bersama Deadline Hollywood, dia mengakui kejadian tersebut benar-benar memberi impak terhadap diri dan kehidupannya.

“Saya melalui jalan yang cukup panjang dan teruk, mungkin lebih banyak daripada apa yang orang tahu. Apa yang terjadi, sangat peribadi untuk saya lalui.

“Banyak perkara yang telah berubah dalam hidup ini dan sangat sukar ketika itu. Perubahan juga berlaku dalam karier saya. Contohnya ketika melakukan penggambaran, saya mudah berasa menjengkelkan selain diserang kebimbangan,” dedahnya.

Jiwa dan muzik

Sebelum menutup perbualan, aktor itu ditanya tentang perancangan untuk dia kembali bermain muzik bersama bandnya, Slow Kids At Play.

Kumpulan itu ditubuhkan bersama rakan-rakan sekolahnya ketika mereka berusia 17 tahun dan Dylan bermain untuk posisi dram.

SEBELUM bergelar aktor terkenal pada hari ini, Dylan pernah mencipta akaun YouTube dengan nama Moviekidd826.

“Sehingga sekarang saya masih bermain muzik bersama kawan. Sebenarnya pada 2019 kami pernah buat persembahan reunion di garaj kampung halaman seorang rakan.

“Muzik sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Sebolehnya saya cuba tidak mahu menjadikan muzik sebahagian daripada perkara yang akan hilang daripada hidup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI