Oleh ROSALWANI CHE SOH
JELI – Fakulti Sains Bumi (FSB) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menemui ketulan batu kecubung yang bernilai tinggi di kawasan perlombongan di daerah ini..
Batu kecubung kebiasaannya digunakan sebagai hiasan batu permata untuk cincin lelaki.
Ketua Jabatan Geosains FSB, Dr. Wani Sofia Udin berkata, penemuan batu itu atau nama saintifiknya amethyst ditemui melalui Program International Geomapping Jeli (IGJ) 2021 yang dianjurkan dengan kerjasama 36 mahasiswa jurusan Geologi dari enam buah universiti dari Indonesia.
Katanya, universiti dari luar negara yang terlibat adalah Institut Teknologi Bandung, Universitas Jambi, Universitas Tadulako, Universitas Padjadjaran, Universitas Hasanuddin dan Universitas Gadjah Mada.
Beliau berkata, daripada kajian itu, peserta turut menemui ketulan batuan kuartza dan penemuan ‘dragfold’ iaitu kesan geologikal struktur pada batuan yang amat jarang ditemui.
“Kita turut menemui batuan jenis pyrite dan batu gunung berapi. Melalui penemuan itu, pelajar dapat mengkaji morfologi dan mengemaskini peta geologi kawasan Jeli melalui aktiviti pemetaan yang dilakukan.
“Melalui kajian ini, penemuannya penting kepada mahasiswa khususnya untuk memberi pendedahan terhadap pemetaan geologi untuk digunakan di dalam kerja lapangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pelajar-pelajar ditempatkan di kawasan kajian sekitar Jeli iaitu Bukit Jeli, Bukit Salor, Kampung Lawar, Kampung Sungai Rual, Lata Chenai, Sungai Pergau, Sungai Renyok dan Sungai Tadah. -K! ONLINE