PETALING JAYA – Jabatan Kesihatan Perak telah mengadakan pertemuan dengan semua pelajar Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng yang didakwa dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka kelmarin.
Pengarahnya, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, hasil pertemuan yang diadakan di sebuah pejabat kesihatan di kawasan berkenaan, pihak kolej telah mengemukakan rayuan pengurangan kompaun untuk kesemua pelajar yang terlibat.
Jelas beliau, pengurusan kolej memaklumkan bahawa pelajar terbabit dari golongan berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membayar jumlah kompaun yang dikenakan.
“Sehubungan itu, kertas siasatan terhadap isu tersebut akan dibuka dan siasatan lanjut akan diadakan untuk pertimbangan pihak pengurusan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Teguran tegas juga telah diberikan kepada pihak pengurusan kolej kerana tidak memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Lay Ming memberitahu dalam kejadian Isnin lalu, pegawai bertugas telah mendapati berlaku ketidakpatuhan SOP kalangan pelajar kolej matrikulasi itu semasa mereka berada di lokasi kejadian.
Katanya, pelajar didapati tidak memakai pelitup muka, tidak memakai pelitup muka dengan lengkap dan gagal mengamalkan penjarakan fizikal.
“Susulan itu, kompaun telah dikeluarkan ke atas keenam-enam pelajar tersebut di bawah Peraturan 17, Peraturan-peraturan Pencegahan dan pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
“Kejadian ini telah dimaklumkan oleh anggota bertugas kepada pihak pengurusan kolej pada hari sama setelah kompaun dikeluarkan,”ujarnya.-K! ONLINE