PASIR PUTEH – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK) Pasir Puteh menahan dua wanita di rumah masing-masing selepas dipercayai terlibat dengan penagihan pil kuda dalam Ops Hawa di Kampung Tasek Pauh di sini semalam.
Dalam operasi itu, seorang janda berusia 31 tahun dan suri rumah berusia 29 tahun masing-masing ibu kepada dua anak ditahan sewaktu serbuan dijalankan di rumah mereka bermula pukul 7 hingga 9 pagi.
Ketua Pegawai ADDK Pasir Puteh, Azlina Mohd. Zain berkata, siasatan mendapati, janda dan suri rumah itu tinggal di rumah tersebut bersama anak-anak mereka.
Katanya, bagaimanapun, suri rumah itu didapati mempunyai suami yang kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah dalam kes dadah.
“Kita meneliti fail latar belakang keluarga suspek sebelum mendapat pengakuan mereka yang terlibat dadah ketika serbuan dijalankan.
“Siasatan mendapati, suami kedua-dua suspek sebelum ini turut menagih dadah dan mempengaruhi mereka untuk terjebak dalam kegiatan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Azlina, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dipercayai kesan pengambilan pil kuda.
Katanya, selepas penangkapan dua suspek itu, AADK akan menjejak isteri kepada suami mereka yang ditahan terlibat kes dadah yang telah dikenal pasti untuk membantu mereka mendapatkan rawatan yang sepatutnya.
“Kedua-dua suspek dibenarkan pulang dengan jaminan pegawai AADK pada hari yang sama memandangkan mereka perlu menanggung dua anak yang berusia dua hingga lapan tahun.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan)1983,” katanya. -K! ONLINE