PUTRAJAYA – Sebanyak 2,340 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 381,813 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, angka kes aktif kebolehjangkitan pula merekodkan sebanyak 21,687 kes.
Menurutnya, daripada jumlah kes hari ini, sebanyak 2,328 kes adalah penularan tempatan manakala, 12 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
“Sebanyak 1,910 kes sembuh hari ini dan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 358,726 kes.
“Terdapat 11 kematian dilaporkan menjadikan 1,400 kes kematian Covid-19 di Malaysia,” katanya pada ciapan Twitter beliau di sini hari ini.
Ujarnya, sebanyak 248 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 101 kes memerlukan bantuan pernafasan. -K!ONLINE