fbpx

18 kompaun, 37 notis dikeluarkan dalam Ops Pantau harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Hanizam (tengah) dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Muar, Rizq Fazliana Abdul Hamid meninjau pematuhan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Pasaraya NSK, Tanjung Agas, Tangkak, hari ini. - Foto oleh NUR ALINA HASSAN

TANGKAK – Sebanyak 18 kompaun dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor ke atas peniaga yang ingkar susulan pelaksanaan Ops Pantau di sekitar negeri ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Johor, Mohd. Hanizam Kechek berkata, kompaun bernilai hampir RM2,000 itu dikeluarkan hasil operasi sejak 13 April lalu.

“Selama lebih seminggu dilaksanakan, kita telah menghasilkan 18 kes meliputi peniaga di bazar Ramadan, bazar Hari Raya, pasar awam, pasar basah, hypermarket, supermarket, mini market dan kedai runcit.

“Kompaun ini dikeluarkan ke atas peniaga yang degil dimana mereka telah menerima notis atau teguran sebanyak dua kali namun masih ingkar. Selepas kali kedua, KPDNHEP Johor akan bertindak tegas dengan memberikan denda sebagai teguran terakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan tinjauan pematuhan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Pasaraya NSK, Tanjung Agas, di sini hari ini.

Menurut beliau, 37 notis pula dikeluarkan melalui Ops Pantau atas kesalahan berkaitan bekalan, harga jualan, penjualan barang tiruan dan pelbagai lagi yang tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Selain itu, ada juga peniaga berdepan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 dan Akta Jualan Langsung dan Skim Piramid (AJLSAP) 1993.

“Justeru, kita mohon semua peniaga patuh dengan arahan dikeluarkan termasuklah pelaksanaan harga mengikut SHMMP.

“Pengguna diminta untuk membuat aduan secara terus kepada kami sama ada melalui sistem e-aduan di laman rasmi kementerian itu atau hubungi talian 1-800-886-800 mahupun berhubung di aplikasi Whats App di nombor 019-279 4317,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, KPDNHEP Johor akui berpuas hati dengan pematuhan peniaga terhadap pelaksanaan SHMMP.

Bagaimanapun katanya, pemantauan akan terus dilaksanakan di seluruh negeri ini bagi memastikan hak pengguna terus terpelihara.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI