PETALING JAYA – Berasakan dunia semakin kejam kerana hidup dalam ramai kalangan netizen yang tidak beradab membuatkan pelakon Syifa Melvin hilang minat untuk melakukan perkara yang disukainya seperti dahulu.
Perkara berkenaan diluahkan Syifa atau nama lengkapnya Nur Syifa Athirah Amirol Melvin dalam InstaStory beberapa jam lalu.
Menerusi perkongsian video, Syifa, 27, mendedahkan bahawa dia terhimpit antara dua perasaan sama ada mahu kembali menjadi seperti dulu ataupun kekal menjaga privasi.
“Sejak kebelakangan ini, saya rasa sudah tiba masanya untuk bercakap soal ini. Saya rasa, sekarang saya sedang terhimpit antara nak jadi orang yang bersifat terbuka macam dulu, selalu berkongsi apa sahaja dengan pengikut media sosial.
“Semua saya akan kongsikan dengan kalian. Ataupun, saya kekal menjaga privasi untuk diri sendiri sahaja,” katanya.
Tambah adik kepada pelakon Syatilla Melvin itu lagi, dia mengakui dirinya sudah jarang berkongsi apa sahaja perkara kepada umum.
Jika dulu, dia berasa disukai dan disayangi oleh ramai orang meskipun hanya berkongsi tentang perihal yang kecil. Namun segalanya dirasakan berbeza sekarang.
“Macam sekarang, saya dapat rasa yang saya sangat jarang berkongsi dalam media sosial.
“Jarang nak tulis apa-apa dalam InstaStory. Sebab rasa malas. Sebab saya rasa dunia sekarang semakin kejam. Netizen suka bercakap itu ini kepada kita, maki hamun macam tiada adab. Tapi sebenarnya saya rindukan semua itu,” katanya.
Pelakon yang mempunyai seramai lebih 705,000 pengikut Instagram itu sebelum ini pernah beberapa kali dihimpit kontroversi membabitkan soal cinta, kerjaya dan bisnes yang diusahakan bersama adik-beradiknya. – K! ONLINE