KOTA BHARU – Masyarakat di Kelantan dilihat masih degil dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika mereka berada di gerai menjual juadah untuk berbuka.
Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Deputi Suprintendan Muhamad Shukri Awang Mat berkata, bukan sahaja pembeli, peniaga juga didapati tidak mematuhi SOP ketika berurusan dengan pelanggan.
“Saya lihat masih ramai masyarakat di negeri ini yang degil tidak mematuhi SOP ketika mereka membeli juadah untuk berbuka puasa.
“Kebanyakan mereka tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan antara satu sama lain. Mereka seolah-olah tidak hirau mengenai jangkitan Covid-19 yang meningkat secara mendadak di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjalankan Ops Pematuhan SOP di sekitar premis perniagaan di Jalan Pintu Geng di sini semalam.
Muhamad Shukri berkata, operasi berkenaan melibatkan seramai 48 anggota dari pelbagai agensi penguatkuasa telah melakukan pemeriksaan secara mengejut di semua tapak perniagaan yang menjadi tumpuan orang ramai.
Beliau berkata, orang ramai diberi amaran keras agar mereka terus mematuhi SOP sebelum mereka dikenakan dikompaun dalam operasi itu.
“Kita tidak mahu wujud jangkitan Covid-19 sehingga tercetusnya kluster baharu melibatkan lokasi di tapak perniagaan.
“Sehubungan dengan itu, semua agensi penguatkuasa telah diarah melakukan pemantauan di seluruh negeri ini untuk memastikan orang ramai terus mematuhi SOP sepanjang Ramadan,” katanya. – K! ONLINE