PETALING JAYA – Penyampai radio, Deen sedih dan bimbang apabila mengetahui beberapa ahli keluarganya di Miri, Sarawak disahkan positif Covid-19.
Menerusi satu hantaran video dalam Instagramnya, Deena tau nama sebenarnya Nordin Madian, 33, memaklumkan bahawa beberapa ahli keluarganya dijangkiti wabak tersebut bermula daripada adik perempuannya yang disahkan positif pada minggu lalu.
“Assalamualaikum semua. Semalam saya dapat berita yang menyedihkan. Minggu lepas adik perempuan saya disahkan positif Covid-19 pada hari Khamis sebelum seluruh ahli kelurga saya melakukan ujian calitan pada Sabtu.
“Keputusan semalam (Selasa) menunjukkan Mak, ayah, adik bongsu lelaki kakak dan seorang anak buah disahkan positif Covid-19,” ujarnya.
Ujarnya lagi, selepas mengetahui beberapa ahli keluarganya terkena jangkitan wabak tersebut, penyampai radio Hot.FM itu berkata dia sangat risau terutamanya tentang keadaan kedua-dua orang tuanya.
“Tapi Alhamdulillah mereka tiada gejala dan hari ini (Selasa) akan dipindahkan ke pusat kuarantin. Sama-sama kita doakan semoga mereka cepat sembuh,” ujarnya.
Dalam pada itu, Deen turut meminta pengikutnya untuk sama-sama berdoa supaya ahli keluarganya cepat sembuh daripada Covid-19.
Malah Deen turut berpesan agar kita semua menjaga kendirian diri dan kerap mencuci tangan serta memakai pelitup muka. – K! ONLINE