PETALING JAYA – Seramai 1,210,779 individu telah menerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sehingga pukul 11.59 malam semalam.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi Twitter berkata, seramai 748,444 individu telah menerima suntikan bagi dos pertama sementara bagi dos kedua pula seramai 462,335.
“Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan (104,338), penerima dos pertama diikuti Kuala Lumpur (82,907) dan Johor (71,877). Bagi dos kedua, didahului Selangor dengan (65,961), Perak (48,942) dan Sabah (43,741),” katanya.
Dalam pada itu, JKJAV turut memaklumkan sehingga pukul 11.59 malam semalam, seramai 9,100,472 atau 37.5 peratus telah berdaftar untuk menerima suntikan vaksinasi Covid-19.
“Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran yang tertinggi iaitu sebanyak (2,385,020), diikuti Johor (1,136,149), Sarawak (836,980), Kuala Lumpur (728,241), Perak (668,935) dan Pulau Pinang (629,910),” ujarnya.
JKJAV turut memberitahu fasa kedua telah bermula 19 April lalu, orang ramai yang masih belum membuat pendaftaran untuk mendapatkan vaksin Covid-19 boleh mendaftar melalui MySejahtera, laman web JKJAV di www.vaksincovid.gov.my atau hubungi Talian Pendaftaran Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan di 1800-888-828.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama disuntik vaksin keluaran Pfizer-BioNTech. – K! ONLINE