PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi Bahagian Hab Halalnya menjelaskan bahawa Syarikat Seng Hin Brothers Enterprises Sdn. Bhd. masih pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.
Menerusi kenyataan akhbar dikeluarkan hari ini, Jakim berkata, pihaknya kembali menerima banyak pertanyaan berkenaan status halal produk yang dikeluarkan syarikat itu.
Menurutnya, kemusykilan itu berpunca daripada tuduhan pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa SPHM bagi syarikat itu telah ditarik balik.
“Untuk makluman pengguna, dakwaan yang kembali menular tersebut telah dijelaskan oleh kami sejak tahun 2016 dan 2017.
“Syarikat ini adalah pemegang SPHM yang masih sah dan dakwaan terkini berkaitan penarikan sijil halal yang menular tersebut adalah tidak benar,” katanya.
Justeru, katanya, masyarakat dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu berita atau mesej tular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya.
Jelasnya lagi, masyarakat juga diminta merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah, salah faham sesama ummah dan menjejaskan keharmonian negara.
“Pada masa sama, pengguna juga digalakkan mengutamakan produk atau premis makanan yang memiliki SPHM yang sah kerana ianya dijamin halal dan toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard serta perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini,” katanya. -K! ONLINE