fbpx

Gajah ceroboh kem tentera ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar sekumpulan gajah liar yang berada dalam kawasan semak hutan belukar berdekatan dengan kuarters kakitangan Kem Iskandar, Mersing, Johor, semalam.

MERSING – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor berjaya menangkap dua ekor gajah liar di Kem Iskandar, Mersing, semalam.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, tindakan itu dilakukan selepas menerima aduan orang awam yang bimbang gajah tersebut akan tersesat ke kawasan Istana Flinstone yang terletak berhampiran kem tentera terbabit.

“Ops Tangkapan Gajah ini telah berjaya menangkap dua ekor gajah betina dan jantan. Di mana gajah betina berjaya ditangkap pada pukul 3.15 petang manakala gajah jantan ditangkap pada pukul 3.45 petang.

“Ops ini diadakan susulan aduan orang awam yang diterima pada sebelah pagi yang melaporkan tentang sekumpulan gajah anggaran lima hingga 12 ekor yang berada dalam kawasan semak hutan belukar berdekatan dengan kuarters kakitangan Kem Iskandar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Salman berkata, pengadu memaklumkan gajah tersebut telah berada dalam kawasan kem sejak seminggu yang lalu.

Katanya, kawalan serta cubaan menghalau telah dijalankan oleh pihak jabatan namun kumpulan gajah tersebut tidak mahu bergerak atau beralih dari kawasan tersebut.

“Keadaan dua ekor gajah yang ditangkap berada dalam keadaan sihat dan aktif.

“Kedua-dua ekor gajah liar tersebut merupakan sebahagian kumpulan gajah Jamaluang yang menimbulkan konflik di sekitar kawasan Pekan Jamaluang, Felda Gugusan Tenggaroh, Kampung Wak Salam, Kampung Sri Pantai dan kawasan sekitarnya.

“Pihak Jabatan akan menjalankan pemantauan ke atas gajah tersebut sehingga dipindahkan ke habitat baru manakala saki baki kumpulan gajah tersebut akan dipantau bagi memastikan ia bergerak dari kawasan tersebut,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI