MUNICH – Kelab gergasi Bundesliga, Bayern Munich mengesahkan mereka tidak akan menyertai saingan Liga Super Eropah (ESL) yang dijangka memberi cabaran kepada kejohanan berprestij, Liga Juara-Juara pada masa depan.
Sebagai rekod, ESL telah diumumkan secara rasmi kelmarin dengan penganjurannya bakal menghimpunkan 12 pasukan gergasi di Eropah seperti Arsenal, Manchester United, Manchester City, Liverpool, Tottenham Hotspur, Chelsea, Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, Juventus, Inter Milan dan AC Milan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge mengesahkan bahawa kelab itu sepakat untuk tidak menyatakan minat dengan saingan ESL kerana lebih yakin dengan kancah Liga Juara-Juara yang dianjurkan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
“Bayern tidak terlibat dalam perancangan ESL dan tidak berminat pun untuk menyertai kejohanan itu. Ini kerana kami percaya dengan perancangan UEFA dalam usaha memastikan Liga Juara-Juara lebih berprestij pada masa depan.
“Malah, jika mereka katakan ESL itu memberi dana yang lumayan buat pasukan ketika era pandemik ini, saya langsung tidak bersetuju sebaliknya langkah yang tepat adalah mengurangkan gaji pemain dan wang imbuhan buat ejen pemain,” katanya.
Sementara itu, dua lagi kelab utama Bundesliga, Red Bull Leipzig dan Borussia Dortmund turut menyatakan pendirian yang sama bahawa pihak pengurusan sepakat untuk tidak memberikan sokongan kepada ESL yang dianggap penganjuran ‘haram’.
“Kami tidak akan memberi sebarang kerjasama mengenai penganjuran ESL ketika ini atau masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Leipzig, Oliver Mintzlaff yang turut dipersetujui oleh rakan sejawatnya di Dortmund, Hans Joachim Watzke. – AGENSI