fbpx

AIM bantu D’Geting Beach Resort

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEHRORSAMOH KAJE di hadapan resort D’Geting Beach yang diusahakannya di Tumpat, Kelantan.

TUMPAT – Enggan terus termenung mengenangkan nasib, Pemilik D’Geting Beach Resort, Jehrorsamoh Kaje, 51, mengakui penutupan industri pelancongan sejak tahun lalu membuatkan dirinya lebih berdikari dalam mencari ikhtiar kelangsungan hidup.

Akuinya, keluhan terhadap perniagaan semakin lesu tidak boleh mengubah apa yang sudah berlaku. Ibu lima anak itu perlu mencari penyelesaian terbaik untuk memastikan resort dikendalikan sejak tujuh tahun lalu tidak hilang daripada genggaman.

“Peruntukan untuk menjalankan operasi resort, bil elektrik, sewa tanah mencecah RM20,000 sebulan. Saya juga perlu memulangkan deposit pelanggan yang membuat tempahan awal kerana penularan wabak Covid-19 .

“Bagi menampung hutang, saya dan anak-anak menjalankan pelbagai perniagaan sampingan termasuk menjual durian diambil di Perak dan makanan panas untuk kelangsungan hidup kami.

“Saya juga terpaksa memberhentikan hampir 10 pekerja kerana tidak mampu membayar gaji sejak pertengahan tahun lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara,” katanya di sini.

Kata Jehrorsamoh, bagi menampung kos operasi resort, dia juga terpaksa menggadai barangan kemas dan mencatu perbelanjaan.

“Amat menyedihkan kerana dalam keadaan ekonomi yang merudum saya terpaksa memberhentikan pekerja, sedangkan saya tahu mereka juga perlu menanggung keluarga dan dalam keadaan ini, sukar untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Setelah ditutup selama hampir setahun, dia kini sedikit lega apabila pergerakan dalam negeri dibenarkan dan sedikit demi sedikit usaha pembaikan perlu dilakukan kepada resortnya.

“Kini, sedikit demi sedikit saya memulakan operasi membaik pulih keadaan resort yang ditinggalkan selama beberapa bulan dan kesemuanya membabitkan kos yang tinggi.

“Saya dan anak-anak berganding bahu untuk melakukan proses membaik pulih resort secara DIY termasuk mengecat lebih 30 kabin yang ada di sekitar resort ini.

“Bagi meringankan bebanan, saya terpaksa mengupah pekerja sambilan untuk mengurus hotel, bergantung kepada keperluan tenaga kerja dalam tempoh pemulihan,” jelasnya.

Harapan Jehrorsamoh, sektor pelancongan dapat dibuka semula seperti sediakala bagi membolehkan pengusaha resort sepertinya kembali bernafas.

Dia pada masa sama bersyukur kerana menjadi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Sebagai Sahabat AIM, bebanan kewangan yang ditampung berkurangan sedikit kerana institusi ini memberi pembiayaan untuk dijadikan modal pusingan.

“Di samping itu, semangat dan keakraban antara Sahabat juga banyak membantu saya supaya tidak berputus asa mendepani tempoh yang cukup mencabar ini,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI