JOHOR BAHRU – Satu demi satu masalah menyelubungi lebih 1,000 pembeli projek perumahan Residensi Tebrau, di sini yang menunggu rumah mereka siap sepenuhnya sejak Januari 2020 sehingga kini.
Terbaru, projek Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) itu memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) sedangkan sistem perpaipannya masih belum siap.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Md. Nasir mempersoalkan bagaimana CCC untuk PR1MA Tebrau dikeluarkan pada 31 Mac lalu sedangkan sepatutnya sijil berkenaan diberikan selepas semuanya selesai.
Beliau berkata, CCC hanya akan dikeluarkan setelah kerja pembinaan siap termasuk penilaian komprehensif terhadap komponen kerja pembinaan seperti asas bangunan disediakan.
“Penilaian tersebut membabitkan kerja-kerja tanah, sistem paip, sistem longkang dan saliran, landskap, lampu jalan dan sistem keselamatan kebakaran.
“Persoalannya bagaimana CCC boleh dikeluarkan dalam keadaan sistem paip di PR1MA tersebut belum siap sepenuhnya?
“Adakah benar kontraktor bertindak memenuhkan tangki air secara manual bagi mendapatkan kelulusan CCC sedangkan paip air sebenarnya belum disambung,” katanya selepas melawat residensi tersebut semalam.
Projek perumahan jenis pangsapuri di Jalan Tebrau itu mula dibina sejak 2016 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Januari tahun lalu.
Projek berkenaan yang terletak bersebelahan dengan Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini mempunyai lima blok dengan 1,284 unit rumah setinggi 26 tingkat dan berharga kira-kira RM150,000 sehingga lebih RM300,000. -K! ONLINE