REMBAU – Peniaga hasil kampung di Sungai Layang, di sini, yang sudah berniaga lebih 32 tahun memohon pihak bertanggungjawab untuk lebih bertimbang rasa dalam isu perpindahan gerai sedia ada di lokasi berkenaan dengan memberikan lokasi tapak kekal terlebih dahulu.
Perniaga berkenaan, Ahmad Din, 67, berkata, tindakan diarah berpindah itu tanpa disediakan terlebih dahulu tapak kekal amat dikesali memandangkan dia menghimpunkan pelbagai hasil tani penduduk setempat yang tidak putus-putus di hantar kepadanya.
“Jika tak pindah, gerai ini akan dirobohkan dan saya sekeluarga lah yang perlu menanggung kerugian. Sebelum ini saya berniaga dan memperoleh Lesen Pendidikan Sementara (LPS), namun LPS ini sudah gagal diperbaharui pada beberapa tahun lalu.
“Tiada pampasan dan juga perjanjian hitam putih kami bakal berpindah ke mana. Bahkan, mereka kata akan berikan kedai bersaiz 10×10 kaki untuk ruang niaga dan keluasan ini tidak boleh menampung pelbagai produk hasil kampung di kedai ini,” katanya ketika ditemui di Sidang Media Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) di Sungai Layang, di sini, petang tadi.
Anak bongsu Ahmad, Siti Aminah Ahmad, 24, berkata, dia berasa sangat sedih apabila mengetahui gerai yang menjadi sumber pendapatan mereka lima sekeluarga sejak dari kecil bakal dirobohkan dan dipindahkan ke lokasi lain.
Menurutnya, dia dan abang keduanya, Mohd Ali Ahmad, 31, kini memang bekerja di gerai berkenaan susulan kedua-duanya kurang sihat.
“Saya merupakan pesakit talasemia major sejak berusia 11 bulan, manakala, abang pula sejak empat tahun lalu perlu menjalani rawatan dialisis. Kami memang bergantung harap kepada hasil jualan di gerai ini.
“Yang peliknya, jika untuk tujuan membesarkan jalan, mengapa hanya sembilan kedai sahaja yang diarahkan berpindah dan bukannya membabitkan kesemua peniaga tepi jalan ini (Seremban-Tampin).-K! ONLINE