JOHOR BAHRU – Sakit dan tidak larat untuk berpuasa menjadi alasan seramai 23 individu yang ditahan tidak berpuasa oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam negeri Johor (JAINJ) sejak hari pertama Ramadan.
Ketua Penolong Pengarah bahagian penguatkuasaan JAINJ, Dzulkafli Mohamad berkata, kesemua 23 individu yang dikenakan saman hadir itu berusia 20 hingga 50 tahun yang ditahan di seluruh negeri ini.
Katanya, mereka dikesan makan pada waktu siang di bulan Ramadan kebanyakannya di restoran dan warung.
“Bermacam-macam alasan yang mereka berikan kepada anggota penguatkuasa ketika membuat tinjauan antaranya tidak tahan hendak berpuasa, sakit dan lain-lain lagi.
“Kebanyakan kaki ponteng puasa yang ditahan ini adalah individu yang berbeza. Penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan sepanjang bulan ramadhan, di seluruh daerah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dzulkafli memberitahu, individu yang ditahan ini akan menerima saman hadir kepada mereka untuk hadir ke bahagian penguatkuasaan JAINJ mengikut tarikh ditetapkan.
Katanya, mereka yang ditahan ini akan dinasihatkan supaya menghormati bulan Ramadan sekalipun tidak larat untuk berpuasa.-K! ONLINE