JOHOR BAHRU – Dua buah sekolah di Taman Daya, di sini diarahkan tutup selama tujuh hari bermula hari ini susulan terdapat pelajar dijangkiti Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, penutupan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya 3 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Daya itu susulan dua beradik yang positif itu menghadiri sekolah berkenaan.
Katanya, difahamkan dua beradik itu adalah kontak rapat kepada nenek mereka yang menghadiri sebuah program di kawasan Kluster Bukit Aliff, di sini.
“Oleh itu, Pejabat Kesihatan Negeri Johor menasihatkan Majlis Keselamatan Negeri untuk mengarahkan kedua-dua sekolah berkenaan untuk tutup selama tujuh hari.
“Sehubungan itu, kontak rapat di kedua-dua buah sekolah termasuk guru-guru telah diarahkan untuk menjalani ujian calitan Covid-19. Setakat ini masih belum ada yang disahkan positif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bubur Lambuk Johorfm Pandu Lalu Sucinya Ramadan kali ke-22 di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, di sini hari ini.
Terdahulu, seramai 159 pelajar daripada lima buah sekolah di sekitar daerah ini yang diarahkan menjalani saringan Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 di Pasir Gudang dan Bukit Indah, di sini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata, arahan itu merupakan tindakan kawalan bagi memastikan tiada penularan berlaku di dalam sekolah yang dikenal pasti.-K! ONLINE