TIPPERARY, IRELAND – Seekor kambing biri-biri yang berkeliaran di jalan raya di Ireland kerana tersesat terpaksa bermalam di dalam lokap sebelum ditemukan semula dengan pemiliknya, lapor United Press International kelmarin.
Polis Nasional Ireland atau lebih dikenali sebagai Garda berkata, pihaknya mengerahkan anggota ke lokasi sebatang jalan di Tipperary selepas menerima aduan daripada pemandu yang melihat seekor biri-biri berkeliaran di jalan tersebut.
Haiwan itu ‘ditahan’ dan dibawa ke balai polis berdekatan. Biri-biri tersebut disumbat ke dalam lokap sementara anggota bertugas mengenal pasti pemiliknya. Biri-biri tersebut diserahkan semula kepada pemiliknya keesokan paginya.
“Haiwan kecil ini dijumpai pada hujung minggu lepas oleh Garda selepas ia terpisah daripada kawanannya.
“Terima kasih kepada pengadu yang menghubungi pihak Garda . Ia telah dijaga dengan baik sepanjang malam dan dipulangkan kepada pemiliknya pagi semalam,” ciap Garda di Twitter. – Agensi