IPOH – Tindakan kompaun RM1,500 yang dikenakan ke atas enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak atas kesalahan tidak memakai pelitup muka semalam, bukan satu penganiayaan kepada mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin sebaliknya berkata, tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa itu adalah bertujuan untuk mengekang penularan wabak Covid-19.
Katanya, meskipun kes itu masih dalam siasatan, pelajar terlibat tidak perlu risau kerana mereka berpeluang membuat rayuan bagi mengurangkan jumlah kompaun tersebut.
“Jangan risau, kita tidak menganiaya mana-mana pihak. Kerajaan negeri sendiri prihatin dengan apa yang berlaku dan siasatan juga sedang dijalankan.
“Antara proses yang boleh mereka lakukan bagi mengurangkan kompaun ialah dengan membuat rayuan. Saya yakin jumlah pengurangan seminimum mungkin akan diberikan dan mampu dibayar pelajar.
“Saya difahamkan ada pelajar yang telah dan sedang membuat rayuan, jika mereka tidak mampu, insya-Allah pihak saya juga boleh membantu untuk membayarnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Keselamatan Makanan sempena bulan Ramadan peringkat negeri di bazar Ramadan Dataran Orkid Batu Gajah di sini hari ini.
Menurut beliau, orang ramai diminta bertenang dengan tidak mencetuskan sebarang isu bagi kes tersebut kerana ia dalam siasatan dan boleh diselesaikan dengan baik.
Katanya, tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa juga perlu dihormati kerana mereka hanya menjalankan amanah yang diberi. K! ONLINE.