fbpx

JPN kesan 200 rekod pendaftaran kelahiran palsu 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruslin menunjukan borang daftar kelahiran pada sidang akhbar mengenai penangkapan suspek sindiket pendaftaran kelahiran palsu di JPN Putrajaya di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesan 200 rekod pendaftaran kelahiran palsu susulan penahanan dua lelaki termasuk seorang doktor, semalam.

JPN percaya pihaknya dapat menyelesaikan aktiviti sindiket pemalsuan maklumat kelahiran yang dijejaki jabatan itu sejak tahun 2009 berikutan terbongkarnya sindiket itu

Sindiket dikatakan membuat pengesahan palsu maklumat kelahiran dalam Borang Pendaftaran Kelahiran JPN.LM01.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, siasatan mendapati, kebanyakan rekod kelahiran palsu itu dibuat di sebuah sebuah klinik swasta di Petaling Jaya, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya mendapati, sindiket menawarkan anak angkat kepada pasangan yang tidak mempunyai anak dan kemudian didaftarkan sebagai anak kandung.

“Sindiket ini mengenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM20,000 bagi setiap urusan pendaftaran palsu kelahiran.

“Doktor yang ditahan itu didapati memasukkan maklumat kanak-kanak serta maklumat pasangan seolah-olah anak tersebut dilahirkan isteri pasangan tersebut.

“Kemudian, ejen bersama-sama pasangan tersebut akan menguruskan pendaftaran kanak-kanak itu di JPN dan kebanyakan bayi yang didaftarkan ini tidak diketahui siapa ibu kandung mereka,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Ruslin berkata, sejak 2009 lagi, pihaknya sudah mengesan sindiket berkenaan malah, sudah meminta ibu bapa anak-anak yang didaftarkan itu tampil memberi kerjasama dan maklumat.

Bagaimanapun, katanya, ibu bapa berkenaan gagal tampil menyebabkan JPN terpaksa menyenaraihitamkam rekod kelahiran kanak-kanak berkenaan.

“Kami akhirnya berjaya mengesan kembali ibu bapa dan kanak-kanak itu selepas mereka tampil untuk mendaftarkan diri di JPN bagi mendapatkan MyKad pada usia 12 tahun.

“Lanjutan itu, seorang doktor dan ejen ditahan masing-masing di Putrajaya dan Melaka bagi membantu siasatan.

“Kami percaya akan dapat mengesan banyak lagi kes pemalsuan rekod kelahiran ini dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, kesemua kanak-kanak berkenaan yang kini berusia antara 12 hingga 16 tahun itu akan ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum proses pendaftaran anak angkat dilakukan mengikut undang-undang sedia ada. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI