fbpx

Setengah juta petani sudah daftar vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Nik Muhammad Zawawi (empat dari kanan) menyampaikan bantuan untuk pembinaan dewan serbaguna kepada petani Gong Jering, Selising hari ini.

PASIR PUTEH – Hampir 500,000 orang petani dan peladang yang menganggotai 270 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara sudah mendaftar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang  (LPP), Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, jumlah itu menunjukkan bahawa golongan petani di negara ini menerima baik saranan kerajaan untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, pendaftaran vaksin itu dilakukan menerusi pelbagai kaedah terutamanya melalui aplikasi MySejahtera selain mendapat khidmat klinik kesihatan berdekatan.

“LPP memandang serius agenda utama kerajaan dalam memerangi Covid-19. Justeru, kita telah mengarahkan pegawai di PPK membantu petani dan peladang bagi  memudahkan mereka mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Kaedah ini penting memandangkan tidak ramai petani terutamanya mereka di kawasan kampung memiliki kemudahan internet atau gajet canggih untuk pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Kampung Gong Jering, Selising di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, Dr. Nik Muhammad Zawawi meluluskan peruntukan berjumlah RM40,000 bagi membina jalan sejauh 500 meter untuk kemudahan petani membawa hasil pertanian mereka ke bandar-bandar.

Selain itu, dana sebanyak RM3,000 turut disumbangkan untuk membina dewan serbaguna di kampung berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, setakat ini, dianggarkan seramai 500 orang petani di seluruh negara yang masih belum mendaftar menerusi PICK.

“Kita akan memastikan semua petani mendaftar program vaksin sebelum hujung tahun ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI