JOHOR BAHRU – Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rashid Yahya mendedahkan rahsia dia untuk kekal sihat dan ‘handsome’ sehingga hari ini iaitu dengan banyak makan belacan.
Seniman legenda berusia 88 tahun itu berseloroh demikian ketika menerima kunjungan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor.
Kata-kata spontannya itu dibalas dengan gelak tawa oleh Zaiton dan tetamu lain termasuk pemberita ketika ditemui di kediamannya di Jalan Rajawali, Larkin Jaya di sini hari ini.
Mat Sentul memberitahu, penduduk Melaka terutamanya di kawasan Tanjung Kling ramai sihat dan ‘handsome’ kerana selalu makan belacan.
“Saya suka berjalan-jalan dan pada bulan Ramadan ini suka mengunjungi bazar untuk mencari kuih tradisional, tetapi saya tak suka makan kek.
“Saya tiada penyakit kencing manis atau darah tinggi cuma lutut saya tidak kuat untuk berdiri lagi,” katanya.
Terdahulu, Zaiton memaklumkan JKM akan menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM500 kepada Mat Sentol bermula bulan depan.
Katanya, bantuan itu diharapkan dapat meringankan beban yang dilalui seniman veteran itu. – K! ONLINE