PETALING JAYA – Satu lukisan mural yang memaparkan aksi lucah tiga wanita pada dinding bangunan milik sebuah persatuan seni di Jalan Sungai Buloh, Jeram, Kuala Selangor dekat sini mengundang kecaman netizen dan penduduk setempat.
Gambar kurang sopan berkenaan mula tular di laman sosial Facebook Jabatan Netizen Negara sejak semalam selepas ia dimuat naik oleh seorang netizen dipercayai penduduk setempat.
Hantaran tersebut memaparkan lukisan mural tiga wanita berbogel pada dinding bangunan tersebut dan sebahagiannya ditutupi dengan kanvas.
Kosmo! difahamkan, lukisan mural itu belum siap sepenuhnya, namun tindakan pemilik bangunan yang mendedahkan sebahagian lukisan tidak bermoral itu telah mengundang kemarahan netizen.
Dakwa netizen, jika lukisan tersebut belum siap, sepatutnya perlu ditutupi sepenuhnya kanvas kerana ia boleh mengudang pelbagai reaksi negatif.
Ada juga sesetengah netizen mendakwa pemilik sengaja mencetuskan kemarahan orang ramai serta berniat jahat dengan sengaja mencetuskan kontroversi ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa.
Pada masa sama, mereka mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada pemilik bangunan dan berharap agar perkara itu dapat diselesaikan segera.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurut beliau, satu laporan polis dibuat oleh penduduk kampung semalam kira-kira pukul 10.41 malam selepas melihat perkara itu mencabar agama Islam sebagai agama persekutuan serta telah melanggar prinsip rukun negara.
Tambah Mohd. Ambia, pihaknya akan menyiasat perkara itu dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas ini. – K! ONLINE