MELAKA – Seorang Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6,200 dipercayai bagi menyelesaikan kes daun ketum dan rokok seludup dua tahun lalu.
Tertuduh, JS Kalvinderjit, 34, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan berbentuk wang tunai dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,200 tanpa balasan daripada Mohd. Hadaffy Mokhtar Ruzaini dengan mengetahui dia mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.
Tindakan itu dilakukan tertuduh antara pukul 11.30 malam hingga 2 pagi di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Jasin pada 8 hingga 9 Mac 2019.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Difahamkan tertuduh menerima suapan tersebut bagi menutup kes membabitkan daun ketum dan rokok seludup.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan nilai jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu membiayai rawatan ibu mentua yang menghidap strok.
Tambahnya, tertuduh juga merupakan seorang pegawai polis dan akan memberikan kerjasama kepada pihak SPRM untuk hadir ke mahkamah.
Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 21 Mei depan sebagai sebutan semula kes.
Terdahulu, suasana di pekarangan Mahkamah Sesyen turut bertukar kecoh apabila beberapa individu dipercayai anggota polis cuba menghalang petugas media daripada merakamkan gambar tertuduh ketika dibawa ke bahagian pengurusan mahkamah untuk proses jaminan.
Individu-individu tersebut bertindak mengiringi tertuduh dan berdiri di hadapan lensa kamera walaupun diminta untuk memberikan kerjasama, malah beberapa rakan media turut mendakwa hampir ditendang ketika merakamkan suasana tersebut.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali ketika dihubungi bagi pemakluman perkara itu memberitahu, pihaknya akan mengesan individu terlibat dalam kadar segera dan memastikan sama ada terdiri daripada kakitangan atau bukan untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE