MADRID – Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane mengakui pasukannya tidak akan mengibarkan bendera putih bagi mengekalkan kejuaraan La Liga musim ini meskipun hanya merekodkan keputusan seri 0-0 bertemu Granada awal pagi semalam.
Keputusan tersebut sekali gus memberi kesukaran buat Los Blancos untuk terus mengejar pasukan yang mendahului kedudukan takhta La Liga yang juga musuh tradisi, Atletico Madrid.
Kata Zidane, keputusan itu juga membuktikan anak-anak buahnya hanya ‘manusia biasa’ selepas mengharungi jadual padat meskipun berjaya menyingkirkan Liverpool pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara minggu lalu.
“Saya tidak mahu pemain terlalu kecewa dengan keputusan kali ini yang saya anggap normal selepas mengharungi jadual padat. Saya sedar pemain juga kepenatan tetapi saya harap mereka akan kekal fokus untuk baki saingan liga nanti.
“Peluang untuk semua pasukan tetap terbuka kerana dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku dan mungkin tidak keterlaluan untuk saya katakan, jika juara liga hanya akan diketahui pada hari terakhir perlawanan,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan Real kini ketinggalan tiga mata dengan mengutip 67 mata selepas mengharungi 31 perlawanan manakala Atletico kekal sebagai pendahulu dengan 70 mata.
Sementara itu, Atletico pula tidak mempunyai masalah untuk mengukuhkan cengkaman di puncak liga selepas merekodkan kemenangan bergaya 5-0 ke atas pasukan tercorot liga, Eibar kelmarin. – AGENSI