LONDON – Malang terus menimpa Jose Mourinho apabila Tottenham Hotspur mengesahkan beliau sudah dipecat daripada jawatan pengurus kelab itu.
Difahamkan pengurusan kelab London itu sudah hilang sabar dengan keputusan kurang memberangsangkan yang dicatat Spurs dalam beberapa perlawanan terdahulu.
Pengerusi Spurs, Daniel Levy bagaimanapun menyuarakan penghargaan kepada pengendali dari Portugal itu atas khidmatnya membimbing pasukan tersebut selama 17 bulan.
“Jose (Mourinho) dan barisan kejurulatihannya setia bersama kami walaupun pasukan berdepan cabaran yang cukup sukar musim ini. Beliau adalah seorang jurulatih yang sangat profesional.
“Secara peribadi, saya memiliki hubungan yang sangat baik dengan beliau, namun amat mengecewakan apabila prestasi pasukan tidak seperti diharapkan,” kata Levy.
Sebagai rekod, Mourinho mengalami 13 kekalahan dalam semua pertandingan musim ini dan ia adalah kekalahan semusim terbanyak dalam kariernya.
Spurs juga menghuni tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL), lima mata dibezakan dengan kelompok empat pasukan teratas yang menjanjikan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
Sepanjang kariernya bergelar jurulatih, Mourinho pernah dipecat beberapa kali sebelum ini termasuk ketika bergelar pengendali Real Madrid dan Manchester United, selain dua kali disingkirkan Chelsea. – AGENSI