KEMAMAN – Dua lelaki yang masing-masing pemandu jentolak dan operator pengeluaran kilang ditahan kerana menjual dan memiliki mercun pelbagai jenis dalam serbuan berasingan di Kampung Bukit Kuang di sini hari ini.
Kedua-dua lelaki berusia 22 dan 24 tahan itu ditahan bersama mercun yang nilai keseluruhannya dianggar berjumlah RM2,500 di rumah masing-masing antara pukul 1.35 pagi dan 2.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek pertama berusia 22 tahun yang merupakan pemandu jentolak ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Rumah Kos Rendah Bukit Kuang di sini pada pukul 1.35 pagi.
“Pemeriksaan di premis tersebut menjumpai 62 kotak dan sembilan paket plastik yang mengandungi pelbagai jenis mercun.
“Suspek kedua yang merupakan operator pengeluaran kilang berusia 24 tahun pula ditahan di Rumah Murah Bukit Kuang di sini pada kira-kira setengah jam kemudian,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, serbuan kedua berjaya merampas 17 kotak dan lima paket pelbagai jenis mercun.
Beliau berkata, berdasarkan soal-siasat, kedua-dua suspek mengaku menjual mercun berkenana sejak Selasa lalu iaitu sehari sebelum 1 Ramadan.
“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenalpasti punca bekalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Letupan 1957,” katanya. – K! ONLINE