GUA MUSANG – Pengusaha tunggal kuih nekbat di daerah ini mampu menjual lebih 7,000 biji kuih itu setiap hari ketika bulan Ramadan.
Rosnani Hamzah, 61, yang terlibat dengan pembuatan nekbat sejak lebih 30 tahun lalu berkata, permintaan manisan tradisional pencuci mulut negeri Pantai Timur itu masih laris sehingga kini.
Katanya, resipi membuat kuih nekbat dipelajari daripada ibunya dan kini diperturunkan kepada anak serta menantu yang tinggal di Taman Wangi di sini.
“Kuih nekbat diperbuat menggunakan bahan asas seperti tepung gandum, telur, pewarna oren dan hanya perlu dibakar dalam acuan dalam tempoh kira-kira lima minit.
“Kami hanya menghasilkan kuih ini pada bulan Ramadan walaupun mendapat permintaan tinggi ketika hari biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini semalam.
Sementara itu, menantunya, Nor Asmida Ariff, 30, memberitahu, setiap hari mereka akan menggunakan 1,000 biji telur dan 30 kilogram gandum bagi menghasilkan kuih nekbat.
Katanya, dia yang mewarisi cara pembuatan kuih nekbat sejak 12 tahun lalu terpaksa bercuti daripada berniaga nasi kukus demi menyiapkan tempahan hidangan tradisional itu pada bulan Ramadan.
“Setiap hari seawal pukul 9 pagi, ahli keluarga kami akan berkumpul dan mula membuat adunan kuih nekbat sehingga dibakar di dalam acuan sebelum dibungkus di dalam plastik untuk dijual kepada pemborong.
“Kuih nekbat yang mentah dijual kepada peraih pada harga RM20 bagi 100 biji,” ujarnya.
Menurutnya, hasil jualan kuih nekbat itu sekurang-kurangnya dapat menampung pendapatan keluarga serta perbelanjaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. -K! ONLINE