KUALA LANGAT – Pemandangan Tasik Banting Baru di sini yang dahulunya indah kini bertukar menjadi ‘sarang sampah’ apabila dicemari pelbagai bahan buangan termasuk rangka motosikal.
Tasik yang dibina sejak 10 tahun lalu itu bagi tujuan kolam takungan air hujan dan lokasi riadah penduduk turut dikotori dengan perbuatan vandalisme pihak tidak bertanggungjawab.
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati banyak kemudahan awam seperti tempat duduk dan pondok telah dirosakkan.
Seorang penduduk, Hisham Talib, 60, berkata, kerosakan teruk pada tasik dan kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan membuatkan lokasi itu tidak sesuai untuk dikunjungi bagi aktiviti riadah.
“Air tasik yang kotor dan berwarna hijau selain kawasan sekitar yang dipenuhi sampah sarap menyakitkan mata memandang.
“Kita boleh lihat pelbagai jenis botol air, rangka motosikal dibiarkan berselerak. Rangka motosikal inipun tidak dapat dipastikan sama ada motosikal curi atau sengaja dibuang di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kata Hisham, ketiadaan penghadang sepanjang laluan di tasik itu juga boleh mengundang risiko khususnya kepada kanak-kanak.
“Tebing di kawasan tasik sedang mengalami hakisan dan sekiranya dibiarkan berterusan boleh menyebabkan kemalangan yang tidak diduga.
“Saya pun tidak pasti apa yang dibuang di dasar tasik ini sehingga airnya bertukar kotor,” katanya.
Sementara itu, penduduk dikenali sebagai Atan, 40, memberitahu, kawasan berkenaan berpotensi menjadi tarikan aktiviti masa senggang penduduk khususnya di sekitar Banting khususnya pada waktu petang jika diselenggara dengan baik.
“Kami berharap Majlis Perbandaran Kuala Langai ( MPKL) segera memulihkan tasik berkenaan selain menaikkan infrastruktur demi kegunaan masyarakat sekitar,” katanya. -K! ONLINE