PUTRAJAYA – Pembayaran pampasan sebanyak RM2.7 juta yang diberikan kepada lapan bekas kakitangan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri khalid Ibrahim, adalah sah di sisi undang-undang dan ia tidak perlu dipulangkan semula kepada Menteri Besar Incorporated (MBI).
Keputusan sebulat suara itu dibuat, selepas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf yang mengetuai panel lima hakim membenarkan rayuan bekas kakitangan tersebut untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada mereka.
“Plaintif (MBI) gagal menunjukkan bukti bahawa pembayaran pampasan skim pemberhentian secara sukarela (VSS) adalah bertentangan dengan undang-undang selain plaintif juga gagal menunjukkan terdapatnya konspirasi di kalangan defendan (bekas kakitangan) bagi membolehkan pembayaran itu diluluskan.
“Oleh itu keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan dan keputusan Mahkamah Tinggi disahkan,” katanya.
Hakim Rohana membacakan penghakiman keputusan sebulat suara itu melalui prosiding Zoom yang dijalankan hari ini.
Turut bersidang bersama-sama Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Zabariah Yusof.
Terdahulu Hakim Rohana menyatakan adalah tidak dinafikan MBI adalah syarikat tunggal (corporate sole) dan bukannya agregat korporat (corporate aggregate).
Selain itu, panel terbabit menyatakan tiada sebarang peruntukkan undang-undang untuk menunjukkan bahawa syarikat tunggal tertakluk kepada kepada Lembaga Pengarah malah tiada di mana-mana peruntukkan Enakmen MBI yang menyatakan demikian.
Menurut panel itu lagi, Khalid telah diberi kuasa di sisi undang-undang untuk meluluskan pembayaran VSS itu berdasarkan Enakmen MBI tanpa kelulusan Lembaga Pengarah.
Pada 11 Mei 2015, MBI memfailkan saman itu dan menuntut semula wang yang dibayar kepada kesemua bekas kakitangan Khalid atas dakwaan pembayaran itu dibuat tanpa kebenaran.
Lapan kakitangan Khalid yang dinamakan sebagai defendan ialah bekas ketua pegawai eksekutif MBI, Faekah Hussin; bekas ketua pegawai operasi, Rohany Talib; Arfa’eza Abdul Aziz; Mustapha Mohd. Talib; Rahimah Kamarudin; Abdul Halim Mohamed Yusof dan Tuan Nazuri Tuan Ismail.
Pada 2017 Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bayaran pampasan kepada ketujuh-tujuh mereka adalah sah namun setahun kemudian, Mahkamah Rayuan meminda keputusan itu dan mengarahkan Faekah dan Rohany untuk memulangkan semula pampasan yang diterima.
Bagaimanapun tiada perintah dibuat terhadap lain-lain defendan.
Menurut pembayaran VSS itu, Faekah menerima pampasan sebanyak RM695,400, Rohany (RM524,400), Arfa’eza (RM478,935), Mustapha (RM265,320), Rahimah (RM265,650), Dr Sulaiman (RM182,385), Abdul Halim (RM186,300) dan Tuan Nazuri (RM115,200). -K!ONLINE