JOHOR BAHRU – Daerah Mersing mencatatkan kes tertinggi penyalahgunaan dadah berdasarkan nisbah lebih 1,500 daripada setiap populasi 100,000 penduduk di negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, jumlah itu amat membimbangkan apabila menunjukkan julat perbezaan ketara berbanding daerah lain serta mencatatkan peningkatan melebihi nisbah kebangsaan iaitu 450 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
“Menerusi perangkaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), kadar prevalens berdasarkan populasi per 100,000 penduduk mencatatkan jumlah lebih 1,500 penagih di daerah itu.
“Memandangkan Mersing adalah kawasan kecil yang mempunyai profil masyarakat berlatar belakang sebagai nelayan, ini satu angka yang membimbangkan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (MEKAR) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ahmad Fauzi Ismail.
Hasni berkata, menerusi program Mekar, ia dilihat dapat memastikan generasi muda mendapat kesedaran awal dan mencegah daripada terbabit dalam sebarang bentuk jenayah.
“Kita perlu buat sesuatu bukan hanya daripada sudut pendidikan, malah perkara lain yang menyumbang kepada isu berkenaan terutama dalam kalangan golongan muda,” katanya. -K! ONLINE