fbpx

Buaya ditemui mati digilis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Buaya tembaga yang mati dipercayai digilis lori ditemui di Jambatan Tidal Gate, Gong Kulim dekat Pasir Puteh. - Foto MEDIA SOSIAL

Oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Pengguna jalan raya di Jambatan Tidal Gate, Gong Kulim di sini gempar apabila menemui bangkai seekor buaya dipercayai mati digilis kenderaan semalam.

Buaya tembaga dewasa itu dipercayai digilis lori berdasarkan kesan darah yang berada tengah jalan raya di lokasi kejadian pada awal pagi sambutan Hari Raya Aidiladha.

Ia merupakan kejadian pertama buaya dari sungai berhampiran yang dipercayai sesat dan cuba melintas jalan raya menuju ke kawasan belukar.

Menurut sumber penduduk tempatan, bangkai buaya itu ditemui kira-kira pukul 9.47 pagi semalam sebelum membuat laporan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut.

Jurucakap APM mengesahkan kejadian itu dan tindakan telah diambil oleh pihak yang berkenaan kerana reptilia itu adalah haiwan yang dilindungi.

Orang ramai diharapkan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap hidupan liar meskipun ia telah mati kerana ini menjadi kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Akta 716.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100, 000 jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, tular di laman sosial penemuan bangkai buaya yang menarik minat pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan mereka untuk melihat kematian reptilia itu yang jarang ditemui di kawasan ini.

Mengimbau kejadian melibatkan reptilia tersebut di kawasan berkenaan, seorang tukang perabot Ibrahim Nor 62, nyaris maut selepas diserang buaya ketika membersihkan jala di tepi Sungai Gong Ketereh, di sini kira-kira empat tahun lalu.

Ibrahim berkata ,dalam kejadian itu, dia bersama tiga rakan membersihkan sampah pada jala selepas menjala udang galah di sungai berkenaan.

Dia cedera di paha, betis dan lutut kiri sepanjang kira-kira 20 sentimeter akibat gigitan reptilia itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI