GEORGE TOWN – Seorang tukang masak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di Ayer Itam di sini minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Danish Xavier Francis Xavier, 34, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Jamaliah Abd. Manap.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menolak isterinya dari tingkat 18 di Kondominium Bukit Awana, Jalan Bukit Kukus, Ayer Itam, di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 12 tengah malam pada 10 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustakim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sementara kes akan disebut semula pada 26 Jun ini bagi serahan dokumen.
Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan seorang wanita ditemui mati di atas bumbung bilik kabel suis Tenaga Nasional Berhad (TNB) di tingkat satu, Kondominium Bukit Awana.
Susulan penemuan mayat ejen insurans berusia 35 tahun itu, polis menahan suaminya yang kemudian mengaku menolak mangsa menerusi tingkap kediaman mereka di tingkat 18 kondominium terbabit. – K! ONLINE