TELUK INTAN – Belum pun sempat membuat pesanan makanan, seorang lelaki warga emas dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di sebuah kedai makan di sini semalam.
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, lelaki berusia 63 tahun itu baru sahaja tiba di kedai berkenaan semasa serbuan dijalankan.
Katanya, dia cuba melarikan diri bersama kaki ponteng puasa lain namun gagal sebelum berjaya ditangkap.
“Semasa penguat kuasa tiba di lokasi serbuan, beberapa pelanggan Islam di dalam kedai bertempiaran lari menyelamatkan diri.
“Seorang lelaki bagaimanapun berjaya ditahan di mana dia memaklumkan baru tiba di kedai dan belum menjamah sebarang makanan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusop, tiada notis saman dikeluarkan ke atas lelaki itu sebaliknya dia diberi amaran keras agar tidak mengulangi perbuatan sama.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, menerusi serbuan di restoran dan premis makanan di pekan Teluk Intan dan Langkap, pihaknya mendapati masih ramai individu terutama warga emas berada dalam kedai makan.
Katanya, golongan itu biasanya akan lari meninggalkan makanan dan minuman yang dipesan di atas meja selepas menyedari kehadiran penguat kuasa.
“Operasi diadakan bermula pukul 8.30 hingga 11.30 pagi dibeberapa restoran mamak dan kedai makan bukan Islam di Teluk Intan dan Langkap,” katanya. -K! ONLINE