Oleh AZIZAN HASHIM
PASUKAN Perak FC perlu menanti sekurang-kurangnya 10 hari lagi sebelum kapten yang juga pemain pertahanan tengah berpengaruh, Shahrul Mohd. Saad dapat kembali bersama dalam skuad utama The Bos Gaurus.
Perkara itu disahkan sendiri oleh ketua jurulatih, Chong Yee Fatt ketika mengulas mengenai aksi seri 1-1 menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh kelmarin.
Pada perlawanan itu, Perak mendahului 1-0 hasil jaringan Guilherme De Paula pada minit ke-57 tetapi pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan pada 11 minit sebelum tamat perlawanan menerusi Kpah Sherman.
“Kami memang terasa ketiadaan Shahrul tetapi apakan daya tidak ada apa yang boleh dilakukan kecuali tunggu kepulangannya 10 hari lagi. Sehingga itu, saya terpaksa merombak benteng dalam usaha mencari gandingan mantap.
“Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan keputusan ini cuma ada beberapa kelemahan ketara seperti penyudah tumpul terutama pada babak pertama,” kata Yee Fatt selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, ketua jurulatih KDA FC, Aidil Shahril Sahak memuji anak-anak buahnya yang tidak berhenti berjuang sehingga berjaya memperoleh gol penyamaan.
“Pertemuan menentang Perak tidak pernah mudah khususnya di gelanggang keramat mereka. Malah, pasukan lawan turut bermain baik terutama Hafizul (Hakim Khairul Nizam Jothy) yang menjadi penghalang utama kejayaan kami.
“Tahniah kepada semua pemain kerana berjaya mencuri mata penting yang saya anggap positif buat pasukan” kata Aidil.