fbpx

Kiswah Zainab sempurnakan fardu kifayah umat Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zamira menunjukkan kain kapan yang dijahit sempurna pada sesi pengenalan set Kiswah Zainab di Gombak baru-baru ini.

Platform PKS

PETALING JAYA – Siapa sangka niat untuk mempromosikan pakej haji dan umrah kepada sekumpulan masyarakat di Jepun telah berjaya mengubah 360 darjah operasi perniagaan Kiswah Zainab Sdn. Bhd. hingga ke hari ini.

Seiring pandemik Co­vid-19 yang menghalang daripada operasi perniagaan berkaitan per­khidmatan pakej haji dan umrah merentas sempadan negara buat sementara waktu, syarikat yang telah beroperasi sejak tahun 2013 itu terpaksa mengubah haluan kepada perniagaan ­menyediakan kit pengurusan jenazah yang lengkap untuk ditawarkan di pasaran.

Ketika kunjungan ke negara Matahari Terbit itu, masyarakat di sana memaklumkan bahawa mereka lebih memerlukan kit pengurusan jenazah untuk digunakan oleh komuniti Islamnya berbanding pakej haji dan umrah yang dipromosikan syarikat.

Teruja dengan permintaan dan tempahan tersebut, pengasas syarikat, Zamira Azmin ­Ariffin telah menyiapkan seba­nyak 500 kotak yang lengkap diisi dengan pelbagai bahan untuk pengurusan jenazah dan bersedia untuk membuat penghantaran ke negara berkenaan.

“Namun kerana PKP, segala urusan bersama rakan perniagaan di Jepun terhenti dan kami kini memiliki 500 kotak yang ‘tersangkut’ di Malaysia.

“Syarikat tiada pilihan untuk menghabiskan stok berkenaan sama ada menjualnya di pasaran atau mungkin boleh digunakan oleh individu, syarikat korporat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk diwakafkan ke surau serta masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi pengenalan produk kit pengurusan jenazah Kiswah Zainab di Gombak dekat sini baru-baru ini.

Zamira menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan Kiswah Zainab bagi meningkatkan ­pengetahuan masyarakat tentang pentingnya set kelengkapan itu jika berlaku kematian dalam kalangan keluarga terdekat, jiran, saudara-mara dan sahabat handai.

Menurut beliau, keperluan tersebut sering dianggap remeh atau ia tidak perlu dijadikan simpanan kerana urusan tersebut boleh dise­rahkan sahaja kepada ahli jawatankuasa masjid atau surau yang mahir mengendalikannya.

“Bagaimanapun, mereka yang mahir ini sangat memerlukan set kelengkapan untuk menguruskan jenazah dengan sempurna kerana barangan tersebut tidak boleh dibeli dengan mudahnya di kedai.

“Selain harganya mungkin le­bih mahal, ia juga mungkin akan mengambil masa serta bakal melengahkan lagi proses menyempurnakan jenazah,” ujarnya.

Berdasarkan masalah tersebut, Kiswah Zainab telah menyediakan 20 barangan lengkap seperti kain kapan sepanjang 13 meter yang dijahit sempurna.

“Berbanding kain kapan lain, ada juga yang belum berjahit dan ini akan melambatkan lagi masa pengurus jenazah.

“Produk lain di dalam kit tersebut, antaranya ialah telekung, serban, sarung bantal, air mawar dan kapas gulung.

“Terdapat juga kapur barus, serbuk cendana yang dipek di dalam bekas tertutup agar tidak berbau sehingga menimbulkan rasa tidak selesa kepada pengguna.

“Set ini juga dilengkapi dengan akar sintok dan juga sabun bidara atau sabun berjenama Johnson.

“Semua barangan tersebut boleh menjimatkan masa hampir satu jam buat pengurus jenazah, berbanding menggunakan barangan yang dibeli secara berasing­an, mereka terpaksa mengambil masa sehingga dua jam untuk menguruskan jenazah mengikut kemahiran masing-masing,” ujarnya.

Kiswah Zainab menawarkan tiga pakej produk iaitu set kelengkapan jenazah premium yang mana ia bersesuaian untuk untuk seorang jena­zah lelaki atau perempuan, set kelengkapan untuk jenazah perempuan sahaja dan set untuk lelaki sahaja.

Harga yang ditawarkan adalah antara RM240 hingga RM265 sekotak yang mana ia dipek dengan cantik bagi membolehkan pengguna ­menyimpannya untuk keperluan di rumah atau dijadikan ha­diah kepada keluarga dan orang tersayang.

“Tidak salahnya kita menghadiahkan kit ini kerana ia bukan untuk mendoakan si pe­nerima meninggal dunia tetapi akan membantu memudahkan urusan pengebumian pada satu hari nanti.

“Kita semua akan mati, ramai orang begitu senstitif bila berbicara tentang kematian tetapi ini adalah keperluan bagi mengakhi­ri perjalanan kita sebelum dikebumikan nanti.

“Saya berharap setiap rumah orang Islam di negara ini perlu miliki kit lengkap ini,” jelasnya.

Wanita yang berasal dari Kuala Selangor itu pernah ditebak dengan pelbagai soalan negatif berkaitan perihal mati, tetapi ia tidak pernah melunturkan semangatnya untuk memudahkan masyarakat Islam menunaikan fardu kifayah tersebut.

Beliau tidak memiliki niat untuk mengaut keuntungan daripada kesedihan pelanggan dengan menyasarkan jualan ribuan ringgit sebaliknya lebih mengutamakan kemudahan dalam menyempurnakan jasad umat Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI