KOTA BHARU – Seorang penangkap belut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membakar isterinya dengan menggunakan minyak petrol tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Irwan Che Abdullah,43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Rohfadla Daud, 37, dengan membakar wanita itu menggunakan cecair petrol yang boleh menyebabkan kematian.
Kesalahan dilakukan tertuduh di sebuah rumah di belakang Balai Islam Lundang, Kampung Lundang di sini pada kira-kira 10 pagi pada 2 Mac 2014.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Seksyen 326 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda atau sebat jika sabit kesalahan.
Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, hukuman boleh dilanjutkan dua kali daripada jangka masa maksimum jika sabit kesalahan.
Kes disebut semula pada 25 Mei depan.-K! ONLINE