KOTA BHARU – Seorang warga emas yang menunggang motosikal bersama anaknya selepas menunaikan solat tawarih maut apabila bertembung sebuah motosikal lain di Kampung Kukang di sini semalam.
Mangsa Mohamad Yusoff, 70 menunggang motosikal Honda C100 manakala mangsa kedua yang maut, Farhan Cheteh, 17.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, Mohamad yang menunggang motosikal bersama anaknya, Muhammad Soleh, 17, sedang dalam perjalanan dari arah Peringat ke Perol.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, warga emas itu dipercayai cuba membelok ke kanan untuk masuk ke lorong tali air menuju ke rumahnya, namun dia tidak menyedari kehadiran sebuah motosikal yang ditunggang Farhan dari arah bertentangan.
“Anak warga emas itu, Muhammad Soleh terselamat, namun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan muka. Mangsa kini dirawat di zon merah Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini,” katanya di sini hari ini.
Jelas beliau, siasatan mendapati, mangsa dalam kejadian maut itu tidak memakai topi keledar sewaktu menunggang motosikal.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.