PETALING JAYA – Seramai 439,286 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, bagi tempoh sama 695,729 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan dos pertama dan kedua negara ini kini berjumlah 1,135,015.
Menerusi satu infografik yang dimuat naik di laman Twitternya, Dr. Adham memaklumkan lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan jumlah 98,469 diikuti Kuala Lumpur (78,087), Sarawak (68,608), Johor (65,159) dan Perak (57,200).
Lima negeri yang telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin tertinggi setakat ini pula ialah Selangor (63,160), Perak (48,802), Kuala Lumpur (38,642) dan Pahang (33,833).
Dalam pada itu turut dimaklumkan, jumlah pendafaran penerima vaksin setakat ini adalah seramai 8,946,750 persamaan 36.9 peratus dengan Selangor kekal mencatat angka tertinggi iaitu 2,356,484 pendaftaran.
Fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari lalu melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Sementara fasa kedua yang dijangka bermula bulan ini hingga Ogos tahun ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kelainan Upaya.
Bagi fasa ketiga pula, dijadualkan akan bermula pada bulan Mei hingga Februari tahun hadapan melibatkan penerima berumur 18 tahun ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang. – K! ONLINE