KOTA BHARU – Penutupan sekolah dalam tujuh daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan terpaksa dilaksanakan ekoran 30 peratus jangkitan Covid-19 terdiri dalam kalangan warga sekolah.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sehubungan dengan itu, beberapa langkah akan diambil bagi mengatasi penularan Covid-19 di tempat kerja, sekolah, masjid dan komuniti.
Beliau berkata, Kelantan mencatatkan kadar kebolehjangkitan paling tinggi di negara ini dengan 1.32 berbanding kadar kebangsaan iaitu 1.19.
“Setakat ini, masih terdapat 2,657 sampel ujian saringan Covid-19 yang belum mendapat keputusan.
“Lebih membimbangkan, penggunaan katil hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad, 23 peratus kes di Kelantan dikesan tidak melibatkan kontak rapat sekali gus menunjukkan jangkitan yang tinggi dalam komuniti.
Katanya, sehubungan dengan itu, sepanjang tempoh PKP, semua rakyat diminta untuk mengadakan solat hajat di masjid dan rumah,banyakkan bacaan al-Quran serta bersedekah.
Terdahulu, semua sekolah dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di tujuh daerah di Kelantan yang dikenakan PKP ditutup selama seminggu bermula hari ini sehingga 24 April depan.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan semalam, Kelantan merekodkan sebanyak 225 kes positif Covid-19 iaitu keempat tertinggi selepas Selangor dengan 751 kes, Sarawak (512 kes) dan Kuala Lumpur (252 kes).-K! ONLINE