SEBERANG PERAI – Dua lelaki ditahan polis selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk di Jalan Chain Ferry, Butterworth di sini awal pagi tadi.
Pemandu kereta jenis Perodua Myvi dan Toyota Vios berusia 35 dan 37 tahun itu ditahan dalam Op Mabuk yang diadakan selama kira-kira tujuh jam berakhir pukul 6 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, siasatan mendapati kedua-dua mereka memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.
“Ujian saringan awal dengan alat SD2+ mendapati kedua-dua mereka positif sebelum dibawa balik ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah SPU untuk ujian pernafasan dengan alat EBA-II.
“Hasil ujian itu turut mendapati mereka positif melebihi had ditetapkan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE