fbpx

Industri memang ketandusan wajah baharu – Erma Fatima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERMA FATIMA

GELOMBANG kehadiran golongan instafamous atau pensohor media sosial sebagai pelakon segera masih hangat diperkatakan dalam kalangan artis senior sejak kebelakangan ini.

Mereka menyuarakan ketidakpuasan hati dan kesal dengan sikap yang ditunjukkan segelintir selebriti junior, katanya seolah-olah langsung tidak serius menceburi bidang lakonan. Antaranya termasuklah pelakon Rusdi Ramli, Datuk Fizz Fairuz, Tony Eusoff, Sheila Mambo, Rita Rudaini dan Izara Aishah.

Bagaimanapun, sutradara dan juga penerbit terkenal tanah air Erma Fatima pula menyuarakan pendapat sedikit berbeza. Kedengaran agak menikam, namun pengarah filem Embun itu sebenarnya menyambut baik kedatangan pensohor media sosial ke dunia hiburan arus perdana atau lebih tepatnya menjadikan lakonan sebagai karier.

KOSMO AHAD!: Kenapa Erma berpendirian sedemikian sedangkan majoriti selebriti senior seperti ‘membelasah’ isu berkenaan dengan cukup lantang?

ERMA: Sebenarnya saya melihat perkara ini sebagai satu perkembangan yang baik terutama bagi industri lakonan tanah air yang sedang berdepan ketandusan bakat dan muka baharu. Tetapi perlu diingat, untuk menjadi seorang pelakon, mereka (instafamous) perlu datang dengan niat yang betul sekiranya mahu berjaya dalam bidang lakonan.

Jangan sekadar jadi ‘pasu bunga’ bila berada di set penggambaran. Bahasa mudahnya, hanya memenuhi ‘frame’ dalam televisyen.

MESKIPUN mengalu-alukan kedatangan wajah baharu, namun Erma menegaskan mereka perlu hadir dengan pakej ilmu yang lengkap sebelum benar-benar bersedia menceburi dunia lakonan.

Pastikan sebelum ke set, hafal skrip, banyakkan latihan dan pembacaan bukannya datang dengan akal kosong. Penuhkan ilmu dalam dada dahulu. Jadi pelakon tidak semudah seperti yang disangka ramai orang di luar sana. Jadi, tepuk dada tanya selera. Sebagai orang lama dalam industri, saya sangat mengalu-alukan kedatangan mereka jika disertakan dengan nawaitu yang betul.

Jadi anda menyimpulkan, golongan selebriti senior perlu akur dengan pengaruh yang ada pada golongan ‘instafamous’?

Bukan akur, tetapi pelakon senior seperti saya harus menerima hakikat bahawa setiap yang bergelar anak seni ada tempoh luput. Jadi, kita harus berlapang dada dengan kehadiran pelapis dan pendatang baharu. Sifirnya mudah, industri seni ibarat ‘come and go’ (datang dan pergi). Bersedialah untuk dipuja tetapi selepas itu juga perlu sentiasa bersiap sedia untuk dihina seterusnya dilupakan ramai.

Benarkah industri sedang ketandusan pelakon baharu ketika ini?

Ya, itu satu perkara yang perlu kita sedar. Industri lakonan tempatan semakin ketandusan muka dan bakat baharu. Mereka yang marah-marah dan kesal serta tidak puas hati tentang isu ini pun sebenarnya dengan keadaan semasa.

BERHENTI mengecam, sebaliknya Erma berpendapat bahawa golongan pelakon baharu wajar diberi ruang dan peluang untuk menimba ilmu lakonan.

Bosan balik-balik asyik Remy Ishak, Zul Ariffin dan Shukri Yahaya. Nanti orang kata, asyik muka pelakon sama sahaja. Macam tiada orang lain. Buka satu saluran televisyen, muka dia. Bila tukar saluran lain pun muka dia juga. Jadi bermula sekarang, kita boleh jana dan asah bakat baharu untuk membantu menyelamatkan industri lakonan. Setidak-tidaknya beri mereka ruang dan peluang untuk belajar.

Benarkah stesen televisyen memilih ‘instafamous’ bagi menaikkan rating?

Saya rasa hal tersebut memang betul kerana mana-mana stesen televisyen bergantung kepada jumlah rating penonton terutamanya bagi slot-slot tertentu. Jadi, tidak hairan dan pelik jika mereka memilih golongan ini bagi mewarnai dunia lakonan sekali gus ‘menjual’ bakat serta pakej yang mereka ada untuk tatapan penonton. Bab bayaran pula, sudah tentu jauh lebih murah berbanding pelakon-pelakon senior. Dengan cara itu, stesen televisyen sudah dapat menjimatkan kos.

Baiklah. Bagaimana pula anda melihat industri teater tempatan masa kini?

Sedih. Itu yang saya dapat simpulkan. Industri teater semakin jauh ke belakang lebih-lebih lagi sejak pandemik mula melanda negara. Boleh dikatakan industri teater negara semakin di ambang kelumpuhan dan perlu lakukan sesuatu untuk selamatkan keadaan.

Saya merayu mana-mana pihak untuk segera mengambil pendekatan menerusi apa sahaja pelan pemulihan dalam usaha menyelamatkan industi kreatif di negara ini. Kalau penggambaran untuk drama, telefilem dan filem dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, perkara yang sama boleh dilakukan kepada teater juga. Perlu adil untuk semua pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI