fbpx

Mangsa kemalangan lawan arus meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemalangan di BORR di Butterworth pada Khamis lalu membabitkan kereta yang dipandu melawan arus.

SEBERANG PERAI – Salah seorang mangsa kemalangan disebabkan sebuah kereta dipandu melawan arus di Kilometer 13.0 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) arah Bagan Ajam di Butterworth di sini Rabu lalu meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Goh Sei Yi, 31, dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

Mangsa merupakan penumpang hadapan kereta jenis Toyota Corolla Altis yang dipandu suaminya berusia 35 tahun di laluan yang betul.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, proses bedah siasat yang dijalankan kira-kira pukul 2 petang mendapati Sei Yi meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan dalaman kerana kemalangan jalan raya.

“Suami mangsa yang sebelum ini dirawat di hospital sama telah dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta bersama anak mereka berusia tiga tahun.

“Pemandu kereta jenis Honda City berusia 43 tahun yang melawan arus dalam kejadian itu dilaporkan masih tidak sedarkan diri dan dirawat di ICU HSJ,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kosmo! Online pada Khamis lalu melaporkan, empat cedera selepas kereta Honda City yang dipandu secara melawan arus bertembung dengan kereta Toyota Corolla Altis dinaiki tiga sekeluarga.

Sebelum itu Honda City berkenaan bergesel dengan sebuah motosikal Benelli Leoncino dinaiki dua individu, namun mereka tidak cedera kerana sempat mengelak.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI