SEPANG – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membentangkan cadangan pembangunan projek bangunan lima tingkat sebagai menggantikan Medan Selera Pantai Bagan Lalang yang terbakar pada 15 Mac lalu.
Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, berdasarkan perancangan, bahagian bawah bangunan itu akan dibina medan selera untuk diusahakan pengusaha sedia ada manakala tingkat dua hingga empat akan dijadikan motel yang diselia MPSepang.
“Kawasan ini sesuai dibangunkan untuk pelancongan bagi menceriakan kawasan pantai itu kerana tapak medan selera itu satu-satunya milik MPSepang.
“Jika mendapat persetujuan daripada semua pihak serta tapak itu didapati bersesuaian untuk dibangunkan, berkemungkinan projek itu akan dimulakan pada tahun depan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Abd. Hamid berkata, pihaknya juga perlu mendapatkan laporan siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkenaan kes kebakaran medan selera itu sebelum memulakan kerja-kerja membersih tapak medan selera tersebut.
“Semua ini dalam perancangan MPSepang kerana kami pernah membentangkan cadangan bagi menaik taraf medan selera itu,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan pada 15 Mac lalu, lima daripada 10 premis Medan Selera Bagan Lalang itu musnah terbakar.
Pada 19 Mac lepas, Menteri KPKT, Datuk Zuraida Kamaruddin ketika mengadakan lawatan kerja ke Sepang meluluskan peruntukan RM5 juta untuk projek berskala kecil dan baik pulih infrastruktur di kawasan pentadbiran itu termasuk baik pulih medan selera serta pembangunan kawasan pelancongan. – K! ONLINE