RANTAU PANJANG – Taktik sindiket penyeludup beras yang menukar bungkusan beras Siam seberat 33,800 kilogram (kg) kepada bungkusan beras tempatan tidak berhasil apabila kegiatan itu berjaya dikesan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9.
Beras-beras itu dirampas oleh anggota PGA ketika mengadakan serbuan di sebuah stor dekat Kampung Bendang di Tanah Merah pada pukul 3 pagi tadi.
Timbalan Komander PGA Briged Tenggara, Asisten Komisioner Sanudin Md. Isa berkata, selepas menerima maklumat, sepasukan anggota PGA Batalion 9 telah melakukan intipan sebelum mendapati sebuah treler berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan premis berkenaan.
Katanya, ketika intipan dijalankan, kelihatan seorang lelaki tempatan yang dipercayai pemilik stor berkenaan datang ke lokasi kejadian sebelum anggota PGA terus menyerbu dan membuat pemeriksaan di dalam stor itu.
“Pemeriksaan di dalam stor itu sambil disaksikan oleh lelaki berkenaan telah menjumpai 564 kampit beras seberat 27,300 kg di dalam sebuah treler.
“Selain itu, kita turut merampas sebanyak 6,500 kg beras seludup yang berada di dalam stor berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Markas PGA Lubok Stol di sini hari ini.
Menurut Sanudin, siasatan awal mendapati, penyeludup menukar bungkusan beras Siam kepada bungkusan beras tempatan bagi mengaburi mata anggota PGA.
Katanya, bagaimanapun, taktik itu gagal selepas pemilik stor itu didapati memberi keterangan meragukan selain catatan dalam buku stor berkenaan tidak selari dengan simpanan beras yang melebihi jumlah sedia ada.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk sebuah treler itu dianggarkan bernilai RM458,000.
“Kesemua barangan rampasan termasuk treler dibawa ke Markas PGA di Lubok Stol di sini untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994. – K! ONLINE