SUNGAI PETANI – Seramai 250 penduduk di Harvard Suasana Resort (HSR), Bedong di sini, menyambut Ramadan dalam suasana muram apabila mereka berdepan dengan masalah gangguan bekalan air bersih.
Keadaan itu menyebabkan suri rumah yang tinggal di kawasan tersebut tidak dapat mengurus rumah tangga dengan sempurna terutamanya untuk memasak juadah berbuka dan bersahur.
Seorang penduduk, Solehah Mohamad, 67, berkata, gangguan bekalan air telah berlaku sejak beberapa minggu lalu sehingga memaksa mereka membeli dan mengangkut air dari luar taman perumahan itu.
“Sehari sebelum berpuasa, bekalan air terputus lagi menyebabkan kami mengalami masalah untuk membuat persediaan berbuka dan bersahur.
“Bekalan air yang dihantar Syarikat Air Darul Aman (SADA) pula tidak menentu dan hari ini masuk hari kedua kami tidak menerima bekalan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Pesara guru, Norizan Md. Zin, 62, berkata, dia tidak dapat tidur malam hingga ke pagi untuk menadah air yang keluar tidak menentu bagi kegunaan harian.
“Sepatutnya saya memperbanyakkan amalan di bulan mulia ini tetapi disebabkan ketiadaan air, tumpuan untuk beribadat turut terjejas,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Syazwana Azahari, 35, berkata, dia keletihan berulang-alik mengangkut air daripada rumah saudara di luar kawasan perumahannya ketika sedang berpuasa.
“Kami sekeluarga terpaksa berjimat menggunakan air untuk memasak sebagai persediaan berbuka, mandi, membasuh pakaian dan kegunaan lain,” ujarnya.
Penduduk berharap pihak SADA lebih prihatin dan menghantar bekalan air dengan menggunakan lori tangki secara berjadual bagi membantu penduduk menghadapi masalah bekalan air terputus.